Sunday, February 28, 2010

Tercabar?

Dikenali sebagai seorang yang lantang dan berani dalam menyuarakan hasratnya terutama dalam memperjuangkan kebajikan penjawat awam, Setiausaha Agung Cuepacs, Ahmad Shah Mohd Zain tentu mempunyai banyak penjelasan yang boleh disuarakan berkenaan kebimbangan yang dirasai akibat daripada kebanyakan daripada penjawat awam kini adalah wanita. Hatinya menjadi semakin cemas dan berdebar apabila menyedari kenyataan bahawa sebahagian besarnya menjawat jawatan tinggi dalam Kerajaan terutama dalam skim Perkhidmatan Pegawai Tadbir dan Diplomatik. Terbayang di matanya keputusan tidak rasional yang bakal diputuskan oleh wanita-wanita ini, kerja-kerja terbengkalai yang akan ditinggalkan berbulan lamanya akibat cuti bersalin, tidak termasuk emosi yang tidak stabil pada masa-masa tertentu setiap bulan! Perkara sebegini sebolehnya dikurangkan, atau dielakkan untuk memastikan Kerajaan tidak terus pincang dalam membuat sebarang keputusan yang mampu mempengaruhi kehidupan rakyat jelat! Begitulah semangat pakcik Mad Shah ini. Berkobar-kobar bagai api obor sukan Olimpik! Akibat semangat ini maka tercetusnya idea yang baginya bernas dan genius – mewujudkan satu dasar bagi membolehkan lebih banyak lelaki diterima bekerja di dalam perkhidmatan awam dengan penilaian yang tidak hanya memandang kepada kejayaan akademik. Idea ini tercetus mungkin setelah membuat lawatan sambil belajar di semua IPTA dan IPTS di seluruh Malaysia dengan mencatat perbandingan jumlah pelajar lelaki dan perempuan terutama di dalam course-course kritikal dan penting.

Berdasarkan pengalaman menuntut di Sekolah Berasrama Penuh dan universiti awam negara, keadaan agak membosankan memandangkan terbatasnya pilihan jodoh masa depan kerana kurangnya bilangan kaum adam di tempat-tempat akademik tersebut. Bilangan mereka lebih ramai di politeknik tempatan yang menawarkan kursus dalam bidang teknologi, pemasangan dan pembuatan yang tidak memerlukan mereka belajar di university. Ataupun jenguk sahaja di Henry Gurney, pusat tahanan dan pusat serenti - mungkin cita-cita tersebut telah tersemai sejak kecil lagi. Tidak hairanlah pemilihan pengisian kerusi-kerusi penting dalam kerajaan dengan mudah diisi oleh kaum wanita. Perkara sebegini telah menggugat keegoan dan keperibadian lelaki sendiri. Satu hari nanti (mungkin kini telah terjadi) perempuan berkerjaya mengahwini seorang lelaki yang tidak bekerja dan tanggungjawab menyara keluarga akan bertukar tangan. Kebolehan wanita walaupun tidak dapat lebih dari lelaki adalah setanding dalam berbagai segi.

Wanita diciptakan istimewa dan indah, sesuatu yang mungkin pakcik Mad shah tidak menyedari walaupun hakikatnya beliau mempunyai penyeri di rumah dan ibu dari kaum yang bekaitan. Pemilihan wanita di dalam PTD adalah dengan sebab yang kukuh, dengan bukti kekuatan mental dan fizikal yang more often than not, mampu dibanggakan. Kursus yang diharungi bukan remeh. Kiranya diperhatikan, ramai antara peserta adalah ibu muda yang baru melahirkan atau telah mempunyai keluarga. Semangat kental dalam mengharungi cabaran yang dibentangkan di depan mata dapat diseimbangkan dengan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu. Kebolehan untuk multi-task, ketelitian dalam membuat keputusan dan komitmen dalam kerja adalah sesuatu yang perlu dihargai, bukan dipertikaikan. Kekuatan mental wanita dalam menahan diri dari menerima rasuah, mementingkan tanggungjawab keluarga dan kerja dari golf, mematuhi ketua dalam setiap arahan dikeluarkan nampaknya bukan sesuatu yang penting kepada pakcik Mad Shah...

Cadangan penciptaan dasar baru oleh pakcik Mad Shah tersebut adalah tindakan kurang bijak. Apa yang diperlukan adalah memperkasakan pelajar lelaki dalam dunia akademik dan pembangunan minda. Kesedaran perlu ditanam dalam diri untuk berjaya dalam pelajaran. Walau bagaimanapun, semua teori ini lebih senang untuk disuarakan dari dilaksanakan. Kita tengok sajalah sejauh mana kerajaan akan tunduk sekali lagi dengan cadangan Cuepacs yang tidak membina ini.

No comments:

Post a Comment