Sunday, February 28, 2010

ironi

Menonton rancangan 999 di TV3 berkenaan satu segmen yang dipaparkan mengenai masyarakat yang hidup merempat di tepi-tepi jalan di bandaraya Kuala Lumpur, Dato’ Seri Shahrizat yang datang membuat lawatan kejutan ke tempat-tempat berkenaan merasakan simpati yang amat sangat, lantas dengan peluh yang masih basah di dahi, beliau menjanjikan bantuan kewangan, perumahan dan kerja kepada setiap perempat bertauliah di kawasan tersebut.

Hakikatnya, ramai di antara perempat ini telah menjadikan lorong-lorong sunyi di kota tersebut sebagai kediaman rasmi mereka sejak lebih 10 tahun yang lalu. Tanpa pekerjaan, tanpa pelajaran dan tanpa tempat perlindungan sempurna. Ia mungkin mampu menjadi topik menyayat hati dalam slot Bersamamu, namun realitinya jika disingkap sejarah perempatan ini, ianya akan berbalik kepada si empunya diri – dari mana asalnya kehidupan terdahulu yang dijalani? Bukankah peluang pernah terbentang di depan mata? Bukankah hidup pernah selesa, walau tidak mewah?

Bila difikirkan, mudahnya menjadi perempat, katakan hidup bergelumang kesusahan, merana sengsara tidak pernah bahagia, orang kaya berduit semua hipokrit dan berhati busuk, salahkan kerajaan yang tidak pernah prihatin dengan nasib orang sebegini, salahkan takdir yang menentukan hidup terperuk di lorong busuk. Mengapa tidak difikirkan menggunakan akal fikiran yang tidak perlu dibayar untuk digunakan, bagaimana mahu mencari sesuap nasi, walau kena bekerja mendera tulang empat kerat di tapak pembinaan, atau di kilang-kilang perindustrian, atau di warung-warung dan gerai. Sistem persekolahan di Malaysia kini tidak memerlukan tuntutan kewangan yang tinggi, apatah lagi kiranya terbukti seseorang itu tidak berkemampuan. Asalkan cemerlang dan berpeluang, biasiswa sentiasa menanti untuk dipilih. Ramai tidak menyedari hakikat bahawa pelajaran adalah jalan keluar daripada kesengsaraan kemiskinan dunia. Mungkin ibu bapa dan masyarakat umum sedar, namun telah gagal menyedarkan remaja yang galak hanyut di bangku sekolah. Sebenarnya, peluang ada di mana-mana, namun sanggup disia-siakan dan lebih senang menyalahkan dan meminta-minta.

Entah mengapa mereka yang telah gagal dan lebih tepatnya enggan mengubah nasib sendiri ini perlu dibantu. Dan seterusnya akan jadi seperti satu tanggungjawab kepada pihak berwajib untuk menunjuk arah bagi mengubah nasib mereka. Mengapa perhatian dan peruntukan sebegitu tidak diarahkan kepada mereka yang lebih bersemangat untuk hidup dengan impian dan idea perniagaan atau pembelajaran yang bernas namun nasib dan wang ringgit tidak menyebelahi mereka. Sayangnya, kadangkala mereka ini jarang mengeluh, kerana itu, suara mereka sayup-sayup kedengaran. Tetapi bagi perempat, suara mereka menyalak terlalu memekakkan, kadangkala ramai yang menyahut, walaupun bukan di kalangan perempat, namun mampu mengukuhkan kedudukan politik mereka.

Mungkin media turut memainkan peranan dalam mengetengahkan permasalahan masyarakat yang lebih membina dan berguna. Menyedari pengaruh yang kuat kepada penonton, kadangkala pati cerita yang disiarkan dikhuatiri mampu memberikan impak negatif bagi jangkamasa yang panjang. Niat yang ikhlas jika disulami dengan bentuk penceritaan yang mengelirukan, mampu bertindak tidak adil kepada pihak berkuasa yang semakin diasak dengan tanggungjawab dan permasalahan rakyat yang semakin menjadi bebanan saban hari. Tanyalah pengarah jabatan mana yang boleh tidur nyenyak kala media menjenguk ke kawasan jajahan mereka. This might be a good news to some, it shows that nasib rakyat kini dibela dan mereka ada suara yang kuat untuk menyampaikan apa yang dihajati. Namun, apa yang pasti, tindakan dan usaha yang dilakukan oleh kakitangan kerajaan jarang dihargai oleh rakyat. Apa yang sering dipaparkan adalah kelambatan, kemalasan, penipuan dan rasuah. Walau sehebat manapun tindakan cemerlang yang dilakukan, at the end of the day, politicians yang akan menjulang pialanya di mata dunia. Ironi....

No comments:

Post a Comment